Tuesday, April 15, 2008

ekonomi islam

BEBERAPA ASPEK PERBAHASAN DALAM EKONOMI ISLAM

1.0 MUKADIMAH.


Persoalan ekonomi adalah merupakan komponen penting dalam sistem hidup Islam. Melaksanakan peraturan dan hukum-hakam ekonomi Islam adalah sama tarafnya dengan amalan-amalan lain yang terdapat dalam Islam. Bahkan dikira sebagai ibadat, kerana ia diberi pahala jika dilakukan mengikut rukun dan syarat serta diniat dengan ikhlas semata-mata kerana Allah S.W.T. Lantaran itu ekonomi Islam juga dianggap bergerak dalam pendisiplinan ilmu kemasyarakatan kerana bidang pengkajiannya tertumpu kepada tindak-tanduk individu dan masyarakat .
Muhammad Abdul Manan ada menjelaskan :
Ekonomi Islam adalah sains sosial yang mengkaji masalah-masalah ekonomi satu golongan masyarakat yang berpegang kepada nilai-nilai Islam”.[1]



2. 0 PENGERTIAN EKONOMI & IQTISAAD


Ekonomi ialah suatu ilmu yang mempelajari tentang perlakuan individu dan masyarakat dalam menggunakan faktor-faktor pengeluaran yang terbatas untuk menghasilkan barangan daan perkhidmatan yang mereka perlukan.[2] Pengertiannya juga telah diketengahkan oleh David Hyman’ sebagai
“Ilmu yang membahaskan bagaimana mengurus sumber-sumber yang terhad bagi pelbagai alternatif penggunaan”. [3]

Secara lebih terperinci perkataan Ekonomi berasal daripada perkataan latin Oeconomicus dan perkataan Greek Oikonomikos.[4] Menurut Joseph A. Schumpeter, perkataan Oeconomicus ini merujuk kepada Kebijaksanaan dalam pengurusan rumahtangga.[5] P.H Collin pula mengemukakan ekonomi sebagai, cermat dan berhati-hati, tanpa membazirkan wang dan kebendaan.[6] Turut diperjelaskan lagi oleh Philip Bab Cockgove dalam kamusnya sebagai, kajian ekonomi dalam konteks aktiviti individu ekonomi sebagai firma rumahtangga dan harga.[7] Menerusi istilah Oeconomicus ini, dapatlah disimpulkan bahawa ekonomi ialah peraturan-peraturan untuk menyelenggarakan keperluan hidup manusia di dalam rumahtangga, baik dalam rumahtangga individu mahupun dalam rumahtangga yang bersifat kolektif dalam sesebuah negara.

Kedudukan ini berbeza sekali dengan istilah iqtisad yang diguna pakai dalam bahasa arab. Ibnu Manzur[8] dalam Lisan al-Arab menulis kalimah iqtisad berasal dari akar kata Qasadu / Qasdu yang bermaksud lurus. Ini adalah bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud :
“ Dan kepada Allah jualah terbentuknya urusan memberi panduan yang menerangkan jalan yang lurus ”, dan diantara jalan-jalan yang dituju ada yang terpesong dari kebenaran ”.[9]

Al-Zabidi [10] dalam Taj al-Arus menyebut Iqtisad berasal dari kalimah Qasada/Qasdu yang bermaksud sederhana di antara bakhil dan israf. Merujuk kepada al-Quran Allah S.W.T memberi gambaran jelas berhubung maksud iqtisad. Misalnya surah al-Isra’ :29.
Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabisnya ”.

Mengikut Muhammad Akram Khan [11] dalam Glosassary of Islam Economic, beliau menyatakan al-iqtisad bermaksud, mengamalkan jalan pertengahan yang secara teknikalnya membawa erti bersederhana antara israf dan bakhil. Merujuk kepada al-Quran, Allah S.W.T telah memberi gambaran yang jelas berhubung dengan maksud iqtisad seperti oleh pendapat-pendapat di atas. Ini dapat dilihat dalam firman Allah S.W.T yang bermaksud :
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan harta, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut, dan sebaliknya perbelanjaan mereka adalah betul sederhana antara kedua-dua cara ( boros dan bakhil).”(Surah al Furqan: 11).


Berdasarkan petikan ayat al – Quran dan al- Hadis di atas jelas menganjurkan manusia supaya bersifat iqtisad iaitu tidak bakhil dan tidak israf. Ibnu Qayyim[12] menyebut bahawa sifat iqtisad ini adalah suatu sifat pertengahan di antara dua hujung yang terkeji seperti yang digambarkan oleh kedua-kedua ayat al-Quran di atas. Dalam erti kata lain, Allah S.W.T menganjurkan kita supaya berjimat cermat dalam menggunakan harta. Penghayatan terhadap anjuran ini sudah pasti akan merealisasikan tuntutan kedua-dua istilah ekonomi dan iktisad yang memang merujuk kepada pentadbiran dan pengurusan perbelanjaan yang baik dalam memenuhi keperluan hidup masing-masing.

Meskipun kedua-dua istilah ekonomi dan iqtisad mempunyai persamaan dalam memberi implikasi yang positif terhadap penggunaan sumber, namun pada hakikatnya, kedua-dua istilah ini mempunyai perbezaan yang amat besar kerana kedua-duanya tidak bertitik tolak dari persekitaran budaya dan pandangan hidup yang sama. Lebih-lebih lagi, kedua-keduanya tidak mempunyai persamaan dari segi perspektif asas falsafah dan methodologi disiplin tersebut. Dalam Islam penghayatan amalan iqtisad ini adalah berkaitan dengan konsep tanggungjawab dan amanah terhadap harta yang dianugerah Allah S.W.T demi mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

3 .0 FALSAFAH EKONOMI ISLAM

3 .1 Asas Falsafah Ekonomi.

Perbincangan sesuatu bidang ilmu seperti ilmu ekonomi tidak dapat dipisahkan daripada asas falsafah yang mendasarinya. Falsafah itu sendiri merupakan pengetahuan tentang pengertian satu konsep atau realiti yang dianggap sebagai dasar ilmu yang tertinggi. Ia boleh diertikan sebagai perbahasan mengenai hakikat suatu perkara melalui jalan berfikir yang berpandu kepada suatu pegangan atau keyakinan tertentu.[13]

Falsafah inilah yang menggerakkan perlakuan setiap agen ekonomi dalam sistem tersebut serta menentukan asas ekonomi mikronya. Sebagai contoh di negara Barat, penyelesaian masalah yang berhubung dengan ekonomi sering diajukan oleh falsafah yang berbeza. Pada suatu ketika masyarakat tertentu menganut suatu konsep ekonomi untuk meninggalkannya pada suatu ketika yang lain bila ternyata gagal untuk mencapai matlamat ekonomi yang dikehendaki.[14] Disiplin ekonomi Barat pada asasnya adalah dikembangkan dalam rangka kegiatan ekonomi individu yang diatur berteraskan nilai dan ideologi hidup yang dianuti mereka. Tulisan Adam Smith dalam “An Inquiry into the Nature and Causes of the Wealth of Nations” pada tahun 1977 contohnya, merupakan sumbangan bagi melahirkan ekonomi sebagai satu disiplin ilmu yang diasaskan kepada masyarakat yang mempunyai ideologi hidup tersendiri.1
Menerusi sejarah, kedudukan ekonomi dan agama di barat adalah seiringan, sehinggalah lewat abad ke-18, ekonomi dan agama mula dipisahkan. Ramai tokoh-tokoh ekonomi barat seperti Thomas Aquinos dan Agustine adalah tokoh-tokoh gereja.2 Akibat kebangkitan Revolusi Industri, terdapat ahli-ahli ekonomi yang berusaha untuk memisahkan kajian ekonomi daripada pengaruh agama. Ini adalah suatu kenyataan sejarah di Eropah apabila berlaku penentangan terhadap gereja dan kewibawaannya.[15]
Dari perspektif ekonomi Islam ada beberapa kreteria penting dalam pembangunan falsafah antaranya :
3 .1.1 Tauhid
Falsafah ekonomi Islam, terungkap kukuh kepada dasar-dasar tauhid yang dipegang oleh individu Islam itu sendiri. Allah S.W.T telah menentukan undang-undang untuk semua kejadian dan semuanya sudah sedia patuh kecuali manusia. Manusia dikurniakan Allah S.W.T dengan kebebasan sama ada untuk mengikut undang-undang tabii atau mengingkarinya.

Dengan mendukung falsafah tauhid, Islam berpandangan bahawa, faktor-faktor yang terdapat dalam diri manusia berada dalam kesatuan, justeru itu kesempurnaan keperibadiaan seseorang itu akan tercapai jika kesemua faktor-faktor dalam diri manusia diberi penumpuan dengan sepenuhnya tanpa mengecualikan sesuatu pun. Oleh itu keperluan kebendaan dan kerohanian manusia hendaklah dipenuhi secara seimbang. Merujuk kepada ekonomi, asas falsafah pendekatan Islam terhadap ekonomi adalah amat berbeza dengan sistem-sistem ekonomi yang lain.[16] Menurut Dr. Muhammad Nejatullah Siddi@qi, perkara yang menjadi pokok kepada falsafah ekonomi Islam terletak kepada perkara- perkara berikut : [17]
a. Hubungan manusia dengan Tuhan.
b. Hubungan manusia sesama manusia.
c. Hubungan manusia dengan alam dan,
d. Tujuan kehidupan manusia di dunia ini.

Perhubungan antara manusia dengan Tuhan ditakrifkan sebagai tauhid. Intisari kepada tauhid ialah penyerahan diri sepenuhnya kepada kehendak syariat Allah S.W.T. Ini merupakan sumber nilai dan matlamat manusia untuk memperolehi keredhaan Allah S.W.T. Hidup di dunia ini adalah satu ujian dan segala-galanya yang diberikan kepada manusia itu merupakan amanah. Manusia bertanggungjawab kepada Allah S.W.T. dan kejayaannya dalam kehidupan di akhirat bergantung kepada prestasi dalam kehidupan di dunia. Ini menambahkan satu lagi dimensi baru kepada penilaian terhadap benda dan perlakuan dalam hidup ini.[18] Seperti yang dinyatakan oleh Al- Faruqi,
Perlakuan ekonomi adalah penjelmaan daripada kerohanian Islam”.[19]

Secara terperinci, kedudukan falsafah Tauhid dalam bidang ekonomi adalah seperti yang dirumuskan oleh Jawatankuasa Konsep dan Metodologi Ekonomi Islam yang diadakan di Mekah pada 21-26 Februari 1976.[20] Pembangunan konsep ekonomi Islam berasaskan kepada :
a) Keyakinan bahawa seluruh alam ini dan harta adalah kepunyaan Allah S.W.T.
b) Manusia adalah pemegang amanah terhadap apa yang dimilikinya yang dikurniakan oleh Allah S.W.T.
c) Pemilikan persendirian yang diizinkan oleh Islam adalah tertakluk kepada perolehan dan perbelanjaannya dengan cara yang betul serta harta itu hendaklah digunakan bagi memenuhi tanggungjawabnya yang tertentu.
d) Sistem ekonomi Islam membawa kepada perpaduan dan keseimbangan sosial.

Mahmoud Abu Saud,[21] seterusnya turut menulis bahawa tujuan hidup seseorang manusia seperti yang diwahyukan dalam Al- Quran, bolehlah dicatit seperti berikut:-
i) Bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah, semua individu mesti menjaga segala kurniaan Allah S.W.T dalam keadaan yang baik. Berasaskan kewajipan ini, aktiviti-aktiviti yang boleh mendatangkan kerosakan kepada diri, orang lain, alam sekitar, pembaziran, pengabaian terhadap sumber manusia, sumber asli dan lain-lain aktiviti yang seumpamanya adalah dilarang. Status manusia adalah diciptakan untuk menjaga milik Allah S.W.T dan bukan untuk mendatangkan kerosakan kepadanya. Ini berdasarkan firman Allah S. W.T yang bermaksud :
“Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian yang lain beberapa darjat, untuk mengujimu tentang apa yangdiberikannya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaaNya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi maha Penyayang.”[22]
Terjemahan, Surah al-An’am(6):165
ii) Bagi beribadat kepada Allah S.W.T, ia merujuk kepada ketaatan dan mengikut petunjukNya dalam segala tindakkan dalam perlakuan muamalat. Allah S.W.T menyatakan dalam satu firman yang bermaksud:
“Katakanlah : Sesungguhnya solatku, ibadatku,hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan semesta Alam.”[23]
Terjemahan, Surah al-An’am (6) : 162
iii) Bagi memakmurkan bumi, Umat Islam mestilah berusaha untuk melakukan kebaikan, menambah pengeluaran, mempertingkatkan khidmat bakti kepada masyarakat, membangun dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi. Ini bersumberkan firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Dia telah menciptakan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menjadikan kamu sebagai pemakmurnya.” [24]
Terjemahan, Surah al-An’am (11) : 61
Berasaskan penjelasan-penjelasan di atas, tergambar betapa pentingnya pengaruh falsafah ekonomi Islam dalam menentukan asas perjalanan aktiviti-aktiviti kehidupan perekonomian manusia, termasuklah aktiviti penggunaan serta ekonomi keseluruhannya.

3 . 1. 2 Istikhlaf.
Nilai-nilai agung dan istimewa yang menjadi asas nilai Ilahiah dalam ekonomi Islam adalah nilai yang menetapkan bahawa manusia menjadi “wakil” dalam harta Allah. Individu ekonomi Islam meyakini bahawa harta dan segala sumber yang ada di muka bumi adalah milik Allah.1 Berdasarkan firman Allah yang bermaksud:
“Bagi Allahlah segala apa yang ada di langit dan di bumi.”
Terjemahan Surah al-Maidah : 17
Oleh itu manusia bertanggungjawab menjaga,mengolah,mengguna dan mengagih –kan harta yang mereka miliki sebaik-baiknya bagi memenuhi keperluan bagi mereka yang memerlukanya. Secara detailnya boleh dijelaskan seperti berikut :
i) Melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah.
Kedudukan ini meletakkan individu untuk menjaga semua kurniaan Allah S.W.T dalam keadaan keadaan yang baik. Dengan kewajipan ini, aktiviti-aktiviti yang boleh mendatangkan kerosakan kepada diri dan orang lain, kerosakan kepada alam sekitar, pembaziran dan pemborosan, pengabaian terhadap sumber-sumber manusia dan asli dan lain-lain aktiviti yang seumpama ini adalah dilarang. Status manusia dalam konteks ini diciptakan untuk menjaga kurniaan Allah S.W.T dan bukan untuk mendatangkan kerosakan kepadanya. Tentang kedudukan manusia sebagai khalifah ini,Allah berfirman yang bermaksud :
“Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian yang lain beberapa darjat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikannya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaannya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

ii) Memakmurkan Bumi.

Umat Islam mestilah berusaha untuk melakukan kebaikan, menambah pengeluaran, mempertingkatkan kidmat bakti kepada masyarakat, membangun dan menggalakkan pertumbuhan. Tentang peranan ini, al-Quran menjelaskan yang bermaksud :
“ Dia telah menciptakan kamu dari bumi, dan menjadikan kamu sebagai pemakmurnya”.
Falsafah ini jelas mengikat manusia dengan peranan yang positif untuk memakmurkan bumi. Dalam perspektif kegiatanekonomi, falsafah ini akan menjuruskan segala aktiviti perekonomian di atas landasan yang sihat dan bermanfaat.
3. 1 .3 Ukhuwwah.
Penghayatan konsep ukhuwwah turut menjadi sebahagian dari falsafah ekonomi Islam yang penting1. Konsep ini mencetuskan ikatan persaudaraan di atas paksi tauhid. Ia tidak sahaja memberi kesan yang positif kepada aspek social malah turut memberi kesan yang sama dalam kehidupan ekonomi dan politik ummah. Mengenai perkara ini al-Quran menyatakan yang bermaksud ;
“ Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara…..”

Malah, dalam surah yang sama , al-Quran turut menganjurkan konsep perpaduan sejagat seperti berikut, yang maksudnya :
“ Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguh orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Umat Islam mesti hidup dalam satu kumpulan sosial yang tersusun iaitu secara berjamaah sebagai satu ummah. Mereka mesti mencorakkan kehidupan selaras dengan peraturan yang ditetapkan Allah.serta mengkaji segenap ciptaan Allah bagi memperolihi hukum-hakam yang berkaitan. Semua aktiviti ini mestilah dilaksanakan dalam suasana harmonis dengan mengutamakan perpaduan dan kerjasama semua pihak .
Setiap individu Islam saling bertanggung jawab kepada Allah S.W.T , kepada sesama manusia, negara dan kepada diri sendiri dalam kaitan dengan perlaksanaan hukum syarak untuk manusia. Tanggungjawab ini adalah asas kepada sebarang hak yang berkaitan dengan individu atau masyarakat . Ini membawa kepada satu lagi elemen yang penting dalam falsafah ekonomi Islam iaitu konsep tazkiyyah.




3 .1. 4 Tazkiyyah

Manusia diciptakan dengan maksud yang mulia iaitu untuk beribadat kepada Allah S. W. T. Dalam konteks ini, ibadat merujuk kepada ketaatan perintah Allah S. W. T dan mengikuti pertunjuknya dalam segala tindakan dan perlakuan mu’amalah. Tentang ini, al-Quran dengan jelas bermaksud :
“Katakanlah : Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan smesta alam”.
( Surah al- An’am ayat ………)
Selaras dengan tujuan yang murni , manusia perlu mewujudkan hubungan yang bersih dalam apa pun perinkat hubungan dengan Tuahan, sesama manusia dan alam. Penghayatan konsep ini berserta dengan konsep-konsep lain yang berupa perincian kepada tuntutan konsep tauhid akan membawa aktivit ekonomi menuju kepada matlamat yang murni.

4 . 0 DISIPLIN DAN SKOP EKONOMI

Ekonomi merupakan satu disiplin ilmu yang berkait rapat dengan kemasyarakatan.[25] Ekonomi dikategorikan juga sebagai Sains Kemasyarakatan kerana skop kajiannya menjurus kepada pelbagai kegiatan manusia di dalam kehidupan mereka sehari-hari. Bidang ekonomi adalah merupakan satu aspek gelagat manusia yang berkaitan dengan pengeluaran, pengagihan dan penggunaan. Selari dengan satu penakrifan ekonomi oleh Paul A. Samuelson yang menyatakan:

…bahawa ekonomi adalah kajian gelagat manusia dalam hubungannya dengan penggunaan sumber-sumber pengeluaran yang terhad untuk mengeluarkan barang-barang dan perkhidmatan dan mengagihkan untuk penggunaan”[26].


Sebenarnya dari perspektif ekonomi moden, ekonomi ditakrif dengan berbagai pendekatan dan cara. Antaranya ada juga menyatakan ekonomi sebagai suatu sains sosial yang mengkaji mengenai pengeluaran, pengagihan dan penggunaan kekayaan.[27] Lantaran itu perbincangan secara khusus mengenai ekonomi, boleh dikatakan tidak mendapat kesepakatan di kalangan ahli-ahli ekonomi. Malah menurut J.L Hanson:
…pernah pada suatu ketika, jumlah definisi subjek ini hampir menyamai dengan jumlah ahli-ahli ekonomi, di mana amat sedikit penulis mengenai ekonomi yang berpuashati dengan definisi yang dikemukakan oleh penulis-penulis sebelumnya”,[28]

Daripada pelbagai definisi ekonomi yang telah dikemukakan oleh ahli-ahli ekonomi, definisi yang diterima ramai menurut Sundharam dan Seeger[29] ialah yang dikemukakan oleh Alfred Marshall di dalam bukunya principles of Economics.[30] Beliau mentakrifkan ekonomi sebagai pengajian tentang manusia di dalam kehidupan mereka sehari-hari. Ia meneliti segala tindakan individu dan tindakan sosial yang berkait rapat dengan pencapaian serta penggunaan semua benda yang menjadi asas kepada kesejahteraan hidup.

Sebaliknya, ekonomi Islam pula sewajarnya dibahaskan secara teliti dalam ruang lingkup sistem Islam yang menyeluruh. Ini kerana Islam merupakan satu sistem hidup yang lengkap, saling berkait secara seimbang di antara satu dengan yang lain. Hukum hakamnya juga mempunyai hubungan dengan akidah, akhlak dan praktis.[31] Dr. Husyam Ghanim pula menyatakan perbahasan ekonomi Islam adalah berdasarkan gambaran sebenar akidah di dalam Islam itu sendiri, manakala pertumbuhan dan aktiviti ekonomi manusia tidak dapat menghasilkan buah yang baik kecuali sah akidah manusia itu.[32] Bertepatan sekali dengan firman Allah S.W.T yang bermaksud :
Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada ahli-ahli yang sebelummu, Jika kamu mempersekutukan Allah, nescaya akan hapuslah amalmu dan tentulah kami termasuk orang-orang yang rugi” [33]

Dalam firman Allah S.W.T. yang lain yang bermaksud :
Dan sesiapa yang engkar (akan syariat Islam) sesudah ia beriman, maka sesungguhnya gugurlah amalnya(yang baik) dan adalah ia pada hari akhirat termasuk orang-orang yang rugi.”[34]

Pembersihan zahir dan batin atau al-Tazkiyyah juga menjadi falsafah hidup muslim. Ia berfungsi membebaskan unsur-unsur negatif daripada aktiviti-aktiviti ekonomi. Individu yang bersedia menghayatinya mampu menjadikan aktiviti ekonominya adil, produktif dan memiliki perlakuan baik tanpa penipuan, rasuah, malas, riba dan sebagainya.[35]

Pengajian ekonomi yang dibincangkan oleh sarjana-sarjana barat bukanlah satu perkara yang baru kerana ianya juga berdasarkan sumber rujukan asas dalam Islam iaitu al-Quran dan al-Hadith. Perkara-perkara ini telah pun dinyatakan oleh Afzalur Rahman serta telah menyenaraikan dengan cara yang sistematik beberapa ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan ekonomi serta membuat pembahagian khusus ayat-ayat yang berkaitan dengan aspek pengeluaran, pengagihan dan penggunaan.[36] Muhammad Akram Khan menyatakan bahawa, ulamak telah mengumpulkan pelbagai hadith yang berkaitan secara khusus dengan bidang ekonomi. [37]

Fungsi-fungsi ekonomi yang telah dibincangkan di atas, jika diteliti berdasarkan suluhan hadith Rasulullah S. A.W. dalam sabda-sabdanya telah pun menyentuh persoalan-persoalan ini. Menurut sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah R. A, Nabi S. A.W, telah dilaporkan bersabda:

Bahawa seseorang kamu di pagi hari pergi mencari dan memikul kayu api di atas belakangnya, lalu hasil yang diperolehi disedekahkan kepada orang lain serta memenuhi keperluannya tanpa meminta daripada orang lain, adalah lebih baik daripada meminta dan mengemis, baik diberi ataupun tidak diberinya. Demikian, kerana tangan yang di atas (yang memberi) adalah baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima).”[38]


Berdasarkan hadith di atas, dapatlah dilihat bahawa dengan contoh yang sangat sederhana, Nabi S.A.W telah menyentuh persoalan ekonomi dalam segenap fungsinya, iaitu;
i) aktiviti pengeluaran - melalui usaha mencari kayu api’.
ii) aktiviti pengagihan - melalui ‘amalan sedekah terhadap yang diperolehi’.

iii) aktiviti penggunaan - melalui ‘usaha memenuhi keperluan sendiri’.

Hadith di atas tidaklah sekadar memberi bayangan tentang skop ekonomi seperti yang telah dibincangkan, malah terdapat sarjana Islam yang membuat interpetasi yang lebih luas terhadap hadith ini kerana ia menjadi asas penyelesaian kepada isu yang lebih mendalam kepada masalah-masalah ekonomi seperti kemiskinan48. Oleh itu disiplin ekonomi secara khusus berkaitan dengan pelaburan manusia dalam mengeluar, mengagih dan mengguna sumber-sumber yang dianugerahkan Allah S.A.W kepada manusia. Perbezaan antara ekonomi Islam dan ekonomi konvensional dalam persoalan ekonomi ianya bertitik tolak dari usaha memenuhi kehendak manusia yang tidak terhad, malah turut menekankan kehendak Allah S.W.T terhadap manusia dalam bidang ini. Dalam ertikata lain, manusia mestilah mengeluar mengagih serta mengguna sumber-sumber ekonomi selaras dengan kehendak Allah S.W.T seperti yang tergambar dalam peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh syariat Islam di dalam bidang-bidang yang berkaitan.

5. 0 KONSEP MANUSIA EKONOMI DAN MANUSIA ISLAM.

Konsep manusia di dalam ekonomi pasaran adalah dinilai sebagai manusia sosial, yang dicipta bertujuan untuk melaksanakan keperluan moral kemudiannya telah diubah kepada konsep manusia ekonomi.[40] Ekonomi konvensional menganggap manusia sebagai satu keluaran semulajadi secara spontan. Bahkan teori ekonomi sekular mengakui bahawa konsep manusia ialah satu kejadian (bukannya makhluk) iaitu, hasil keluaran alam.[41] Kewujudannya tidak semestinya mempunyai sebarang maksud yang muktamad, ia cuma wujud di dunia ini sahaja. Realiti kehidupan hanya perlu diterokai di dunia. Kesempurnaan manusia pula boleh dicapai tanpa sebarang bantuan kuasa luarbiasa.

Oleh itu tidak ada sebab individu ekonomi barat perlu kepada mana-mana kuasa yang agung, melainkan tunduk kepada mekanisme pasaran,[42] yang telah direka oleh mereka sendiri. Adam Smith pelopor kepada sistem ekonomi kapitalis ada menerangkan undang-undang di pasar adalah yang terpenting dalam menentukan sesuatu masyarakat itu, katanya :

“ For the laws of the market themselves will be integral part of the larger laws which cause society to prosper or decay. The mechanism by which the heedless individual is kept in line with everybody else will affect the mechanism by which society itself changes over the years ”.[43]

Undang-undang Pasar Law of the Market yang dianjurkan oleh Adam Smith adalah ringkas. Sifat mementingkan diri self-interest yang terdapat dalam naluri manusia akan merangsangkan seseorang individu kepada persaingan dalam pengeluaran barangan kepada masyarakat, iaitu jumlah kuantiti yang masyarakat perlu dan paras harga yang sanggup dibayar oleh masyarakat. Sifat mementingkan diri ini menjadi daya penggerak utama yang seterusnya mewujudkan sistem ekonomi kapitalis. Menurut Adam Smith :
It is not from the benevolent of the butcher, the brewer, or the baker that we expect our dinner, but from their regard to their self-interest. We address ourselves, not to their humanity, but to their self-love,and never talk to them of our necessities, but of their advantages”.[44]

Falsafah yang melihat manusia sebagai kejadian yang mementingkan diri, melahirkan konsep “manusia ekonomi”. Manusia yang akan bergantung kepada perhitungan dengan teliti dan berhati-hati ke arah pencapaian kejayaan ekonomi. Kejayaan ekonomi mengikut kefahaman Kapitalisme boleh ditakrifkan sebagai memperolehi kekayaan dengan kadar yang maksimum dari tindakan manusia. Pencapaian di dalam pemilikan harta berbentuk wang atau barangan adalah merupakan matlamat utama dalam kehidupan seseorang individu.[45]

Adam Smith pengarang Wealth of Nation yang juga mengarang Theory of Moral Sentiments kerana idea-idea di dalamnya memperjelaskan lagi kefahaman tentang falsafah ekonomi. Menurut Adam Smith lagi tingkah laku manusia didorong secara semulajadi oleh enam motif iaitu cinta diri, simpati, keinginan untuk bebas, perasaan sopan santun, tabiat mahu bersungguh-sungguh dan kecenderungan untuk bertukar-tukar barangan. Berdasarkan rangsangan ini, setiap orang secara semulajadi boleh membuat pilihan sendiri dan seharusnya dibiarkan sendiri. Seseorang itu bukan sahaja memperolehi apa yang terbaik bagi dirinya, malah dia akan menghasilkan lebih banyak kebaikan awam. Motif yang berlainan bagi tindakan manusia begitu seimbang sehinggakan kebaikan bagi seseorang tidak bertentangan dengan kebaikan untuk semua.[46]

Cinta kepada diri sendiri disertai dengan motif lain, terutama simpati dan tindakan daripadanya tidak boleh tidak akan melibatkan kebaikan bagi orang lain bersama-sama dengan keuntungan bagi diri sendiri. Berdasaskan kepercayaannya kepada imbangan semulajadi bagi motif manusia, maka Adam Smith mengemukakan pernyataan yang masyhur bahawa dalam memburu kebaikan setiap individu dipandu oleh ‘Tangan Yang Tak Nampak’.[47]

Islam pada asasnya tidak dapat menerima pandangan yang sedemikian kerana apabila setiap individu berusaha untuk memenuhi kehendaknya akan mewujudkan jurang perbezaan di dalam masyarakat. Golongan berkemampuan akan menyekat peluang golongan tidak berkemampuan untuk melakukan penggunaan. Kemungkinan juga berlaku pembaziran dan kerosakan ke atas sumber-sumber yang digunakan. Adalah mustahil kehendak masyarakat akan terhasil dengan sendiri tanpa sumbangan yang dilakukan oleh individu-individu lain di dalam masyarakat tersebut. Ini kerana Islam mengakui bahawa kebajikan individu dan masyarakat lebih merupakan pelengkap, bukannya bersaing dan bertentangan. Oleh itu, ia menggalakkan kerjasama disebalik persaingan dan permusuhan, di samping membentuk suatu perhubungan yang rapat di antara individu. Dalam sistem Islam, kepentingan individu dianggap sebagai kepentingan masyarakat dan sebaliknya, jika masyarakat mundur, individu akan menderita dan jika individu makmur masyarakat juga makmur.[48]

Namun, ia mungkin berlaku hanya apabila kebajikan individu dan masyarakat dipertahankan sebaik mungkin, sehinggakan dalam mendapatkan keperluan-keperluan peribadi, mereka tidak melenyapkan kepentingan yang lain sama ada secara langsung atau tidak langsung. Jika mereka sendiri memperolehi faedah, mereka membenarkan yang lain menikmati sama. Sekiranya mereka tidak memperolehi sebarang faedah daripada sesuatu bidang usaha, mereka akan menyempurnakannya untuk kebajikan orang lain, yang akan mendapat faedah daripadanya. Ini menunjukkan bahawa dalam sistem Islam, setiap bahagian individu berada dalam kebajikan orang lain dan kebajikan individu serta masyarakat itu saling lengkap- melengkapi.

Oleh yang demikian, sistem ekonomi Islam mestilah berdasarkan kepada konsep keharmonian di antara kepentingan individu dan masyarakat. Ia tidak mengasingkan individu daripada masyarakat ataupun membenarkan pergeseran aspek kebajikan individu dengan masyarakat. Dalam penekanan yang lain, Islam juga melihat manusia sebagai hamba sosial yang membentuk personalitinya apabila berada dalam masyarakat.

Ibadat sembahyang oleh individu ekonomi misalnya, memantapkan lagi urusan ekonomi seharian. Ditunai 5 kali sehari tanpa dilalaikan oleh urusan jual beli dan perdagangan. Selepas selesai bersembahyang, Islam menggalakkan kegiatan ekonomi dipergiatkan. Menolak andaian bahawa individu hanya bermunajat serta berdoa sahaja untuk meningkat pengeluaran tetapi inilah yang melemahkan masyarakat.[49] Al - Quran mengingatkan umat Islam dengan firman Allah yang bermaksud:-
"Apabila telah ditunaikan sembahyang, bertebarlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia (rezeki Allah) dan ingatlah akan Allah sebanyak-banyaknya, mudah-mudahan kamu menang (berjaya).”[50]

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : Cari kurnia (rezeki) Allah dalam ayat tersebut memberi pengertian segala bentuk perniagaan yang halal dan sah, termasuk jual-beli, perindustrian, perdagangan dan sebagainya, yang melibatkan orang ramai dalam usaha mendapatkan sumber kehidupan mereka.

Seterusnya umat Islam dibenarkan untuk berniaga sepanjang musim haji. Ini membuktikan bahawa ibadat dan perjuangan ekonomi merupakan keperluan untuk kebajikan dan pembentukan personaliti manusia. Ini dijelaskan lagi oleh firman Allah yang bermaksud:

“Tidak ada dosa terhadapmu, jika kamu mencari kurnia dari Tuhanmu (seperti membawa perniagaan pergi haji).”[51]

Ayat di atas memberi jaminan bahawa mencari kepentingan dunia tidak bertentangan dengan hakikat penyerahan diri kepada Tuhan dan tidak ada salahnya jika menjalankan perniagaan semasa menunaikan haji. Islam membenarkan umatnya untuk melibatkan diri dalam jual-beli yang halal atau perniagaan lain yang bebas daripada unsur-unsur judi dan penipuan. Firman Allah S.W.T berikut menjelaskan kedudukan itu yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu) kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”[52]

Oleh demikian, terbukti bahawa Islam bukanlah suatu kepercayaan duniawi yang aneh, hanya meminta manusia untuk menyelamatkan jiwanya bagi kehidupan akhirat. Ia merupakan agama yang mengajar manusia cara untuk berbahagia semasa hidup dalam dunia dan juga ketika persemadian di Akhirat.
Periktibaran kegagalan lalu bagi sistem ekonomi moden perlu dilihat secara praktikal. Sebagai contoh pada era kemajuan industri di Eropah, manusia telah diberi kebebasan peribadi secara mutlak. Sistem seperti ini, yang berkembang pada ketika itu, memberi kesan kepada perpindahan beramai-ramai peladang dari luar bandar ke bandar-bandar untuk bekerja di kilang-kilang dengan membayar gaji yang sangat rendah. Walaupun bekerja sepanjang hari (lebih kurang 15 jam sehari). Apabila mereka membantah, mereka dibuang dan diganti dengan perempuan dan kanak-kanak dengan kadar upah yang lebih rendah. Begitulah layanan sistem ekonomi kapitalis terhadap pekerja, kerana fokusnya hanya kebendaan dan mementingkan diri sendiri.

Justeru itulah dalam keghairahan pembangunan sosial ekonomi faktor manusia menghadapi cabaran yang hebat dalam mempertahankan kemanusiaan yang sebenar atau menjadi hamba kebendaan. Pertahanan manusia dapat dilakukan apabila manusia berdiri sebagai hamba Allah S.W.T[53] atau pemegang amanahnya tetapi apabila perlucutan perhubungan dengan Allah S.W.T berlaku, manusia akan menjadi hamba kepada kebendaan.

Adunan proses pembangunan ekonomi walaupun diselitkan juga dengan elemen-elemen pembangunan Islam, namun ianya masih tergugat kerana kecenderungan manusia kepada cintakan harta adalah tinggi sebagaimana firman Allah S.W.T:
“Serta kamu pula sayangkan harta secara tamak haloba” [54]


Begitulah hebatnya sistem pembangunan ekonomi, dalam mengaburi kedudukan manusia itu sendiri. Pada Islam ianya terjadi kerana asas dan matlamat tidak kembali kepada Islam yang sebenarnya, sehingga terdorong ke lembah kehinaan.

5.1 Manusia makhluk ciptaan Allah.


Manusia ciptaan Allah mempunyai matlamat serta bersedia menerima perubahan, manakala konsep manusia dalam ekonomi moden juga dikatakan terjadi dengan sendirinya serta tidak mempunyai apa-apa matlamat kecuali kesempurnaan diri sendiri seperti yang dijelaskan oleh Patterson.
Konsep manusia ini terjadi dengan sendiri dan tidak mempunyai apa-apa matlamat.[55]

Hakikat ini berbeza dengan ekonomi Islam meletakkan manusia sebagai khalifah Allah di bumi untuk mengabdi diri kepada Allah semata-mata sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah Adz-dzaariyat ayat 56 yang bermaksud:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaku.

Ini menjelaskan bahawa manusia mempunyai tanggungjawab dalam kehidupan, terutama bidang ekonomi, dengan mengeksploitasi sumber-sumber alam sepenuhnya. Semakin giat seseorang itu dalam aktiviti ekonomi, maka lebih baik dan mulia serta mendapat tempat di sisi agama.

5 . 2 Manusia yang berakhlak


Hakikat kemuliaan manusia bergantung kepada kualiti akhlak, tidak seperti manusia ekonomi yang melihat sebagai haiwan ekonomi. Ini dibezakan oleh Edward dalam huraianya bahawa:-
“manusia dianggap sebagai haiwan sosial, berpolitik, berfikir, di mana fungsi tidak lebih sebagai mesin yang berfungsi melalui proses mekanikal”.[56]

Namun konsep makhluk manusia yang dilihat oleh Islam sebagai makhluk cintakan pergaulan, persahabatan, bekerjasama, tolong menolong, lindung melindungi antara satu sama. Ianya berlainan dengan konsep manusia ekonomi yang meletakkan kebebasan ekonomi untuk semua manusia, dan tinggalkan bersendirian bagi mencapai matlamatnya. Terutama kebebasan penuh diberi dalam pasaran untuk menentukan nasib mereka. Perhubungan antara seseorang dengan seorang yang lain samalah perhubungan antara penjual dan pembeli apabila memasuki pasaran yang tebal dengan sifat individualistik dan tidak bertanggungjawab. Ini seperti yang ditegas oleh E.F Schumachert dalam tulisannya menyatakan :
Secara umum, pasaran ialah tempat yang sudah sebati dengan individualisme dan tidak bertanggungjawab kepada sesiapa kecuali dirinya sendiri. [57]




6 . 0 KEKURANGAN RELATIF DALAM EKONOMI MODEN DAN ISLAM.


Kekurangan(scarcity), dari segi bahasa ialah masalah atau ketidakseimbangan.[58] Menurut David N. Hyman, kekurangan ialah ketidakseimbangan di antara citarasa-citarasa terhadap barangan dan perkhidmatan.[59] Manakala Muhammad Abdul Manan pula mengutarakan bahawa masalah asas ekonomi manusia berpunca dari hakikat bahawa kita mempunyai pelbagai kehendak yang pada umumnya tidak dapat dipenuhi melainkan jika kita membelanjakan sumber-sumber tenaga manusia[60] dan peralatan material yang begitu terhad.[61]

Fenomena kekurangan relatif sebenarnya releven dengan Islam, cuma berbeza dengan konsep kekurangan mutlak. Islam tidak bersetuju dengan konsep kekurangan mutlak, kerana ilmu pengetahuan manusia adalah terhad untuk membayangkan potensi nikmat masa depan dari Allah S.W.T yang tidak terhingga. Ini dijelaskan dalam firman Firman Allah S. W. T yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki, kepada sekalian makhluknya, Dialah sahaja mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi maha kuta kukuh kekuasaannya”.[62]

Berdasarkan penjelasan di atas, didapati bahawa masalah asas ekonomi Islam terangkum dalam aspek mikroekonomi, iaitu masalah peruntukan dan pengagihan. Oleh itu dalam proses ini masalah kekurangan relatif menimbulkan masalah pilihan kerana tiap-tiap pilihan akan menghadapi kos melepas. Secara ringkas masalah-masalah asas yang sering diajukan dalam ekonomi ialah :
a) Apakah jenis barangan dan perkhidmatan yang harus dikeluarkan dan berapa banyak ?.
b) Bagaimana hendak dikeluarkan ?.
c) Untuk siapa ?.

Jawapan kepada persoalan-persoalan ini boleh dikaji dari sudut positif dan normatif [63] iaitu suatu kaedah yang melibatkan nilai dalam analisis. Nilai yang bersumber Al Quran.[64] Menerusi pandangan Sadono Sukirno pula melihat bahawa manusia, menghadapi banyak masalah ekonomi adalah diakibatkan oleh ketidakseimbangan dalam dua perkara berikut:-[65]
a) Kehendak-kehendak manusia untuk memperolehi barang-barang dan perkhidmatan tidak terbatas.
b) Faktor pengeluaran yang tersedia adalah terhad jumlahnya.

Keadaan di atas menggambarkan faktor-faktor pengeluaran tidak mungkin dapat mengeluarkan semua barangan dan perkhidmatan yang dikehendaki manusia. Ia hanya dapat mengeluarkan sebahagian kecil sahaja daripada kehendak-kehendak mereka. Ini selari dengan pandangan Heinz Kohler:-
“Because economists are forever telling people that ours is a world of scarcity wherein people can never have all they want, economics is often called “the dismal science”. Yet actually economists are far from content with being prophets of gloom. While they recognize that scarcity is a built-in fact of life - not only for isolated Bushmen and Eskimos, but also for so much richer Russians and Americans.[66]

Lantaran itulah masalah ekonomi tidak dapat diselesaikan selagi kekurangan sumber masih wujud. Menurut teori kapitalis, keinginan dan keperluan manusia itu tidak ada hujungnya. Sebagai penyelesaian, mereka memberi pilihan dengan cara membangunkan lagi sumber pengeluaran serta menyemak kembali sistem agihan tanpa mempersoalkan sama ada keperluan itu, wajar atau layak bagi kehidupan manusia.[67]

Menurut Maxis pula, masalah ekonomi berlaku antara dua pertembungan, daya pengeluaran dan persoalan hak milik. Jika kedua-dua pertembungan itu dapat disatukan, hayat ekonomi itu akan seiringan.[68] Justeru itulah bahawa masalah ekonomi mengikut teori sosialis adalah disebabkan oleh sistem kapitalis bukan kerana kurangnya barangan atau perkhidmatan. Masyarakat sosialis mendapat semua yang diperlukan dan mereka gunakan pada masa yang dikehendaki. Tidak wujud konsep kekurangan atau krisis barangan.

Mengikut Islam, masalah ekonomi yang melanda masyarakat tidak ada kaitan langsung dengan krisis sumber ekonomi dan mekanisme pengagihan. Punca utamanya ialah sikap manusia itu sendiri.
Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud :
“Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentu bilangannya”.[69]

Ayat di atas menjelaskan bahawa Allah S.W.T melimpahkan nikmat kepada setiap manusia di mana sahaja mereka berada dengan menyediakan sumber-sumber ekonomi yang tidak terbilang bagi menampung keperluan mereka. Sebaliknya manusia mengsia-siakan anugerah itu dengan bersikap zalim dan kufur. Golongan yang mempunyai kuasa dan kaya memonopoli kekayaan semua sumber ekonomi untuk kepentingan dan kepuasan mereka sendiri. Sedangkan golongan yang tidak bernasib baik iaitu golongan majoriti dalam masyarakat, tidak mendapat peluang untuk berbuat demikian kecuali sedikit sahaja. Kufur ialah seorang yang tidak menggunakan sumber alam sebagai mekanisme pelaburan untuk memaksimumkan pengagihan sebaliknya dibiarkan dengan sia-sia, sedangkan manusia adalah khalifah Allah S.W.T di muka bumi.[70]

Berasaskan pandangan ekonomi konvensional, fenomena kekurangan yang wujud merupakan kekurangan secara mutlak iaitu ketidakcukupan faktor-faktor pengeluaran yang tersedia di dalam dunia.[71] Tetapi sebaliknya Allah memperjelaskan dalam firman yang bermaksud :
“Dan Dia telah menciptakan segala sesuatu dan dia menetapkan ukuran-ukurannya dengan serapi-rapinya.”[72]

Allah sahajalah Yang Maha Mengetahui dengan sebenar-benarnya jumlah benda-benda yang diciptakannya dan manusia hanya mengetahui apa yang dilihat pada zahir sahaja.
Firman Allah lagi yang bermaksud :
“Sesungguhnya Allah mengetahui yang tersembunyi di langit dan di bumi.”[73]

Berdasarkan ayat di atas nyatalah bahawa Allah S.W.T mencipta segala sesuatu dalam nisbah dan kadar yang tertentu, ini bermakna apabila Allah S.W.T mencipta manusia, ianya juga menyediakan sumber-sumber secukupnya kepada manusia sehingga akhir hayat.. Ini termaktub dalam firman Allah bermaksud:
“Sesungguhnya Allah benar-benar mempunyai kurniaan atas manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak mensyukurinya.”[74]

Sekiranya sumber-sumber tersebut mengalami kesusutan atau hilang dari alam ini, sudah tentu keseimbangan dari ciptaan Allah S.W.T pada alam ini akan terganggu dan ini melibatkan kemusnahan alam.
Berdasarkan firman Allah S.W.T,
“Dan hujan yang diturunkan oleh Allah dari langit lalu dihidupkan dengan air hujan itu sesudah matinya” [75]

Walaupun alasan bahawa, sumber-sumber terbatas tapi ada alternatifnya. Tambahan pula manusia mempunyai pengetahuan serta kemampuan terbatas untuk mengeksploitasi sumber-sumber Allah S.W.T yang masih tersimpan. Namun ketinggian ilmu pengetahuan, manusia juga masih tidak berupaya menghitung nikmat-nikmat Allah sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah S.W.T:
Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah S.W.T nescaya tidak dapa menentukan jumlahnya ”.[76]

Oleh sebab itu sumber-sumber ekonomi terbatas secara fizikal sahaja, terutama bila melihat kepada persoalan kekurangan relatif. Sebaliknya segala sumber-sumber yang dikurniakan Allah kepada manusia ada yang boleh digunakan secara langsung seperti cahaya matahari dan sebagainya. Ada yang memerlukan tenaga untuk menukarkan sumber-sumber tersebut kepada bentuk yang boleh digunakan.

Sebagai contoh input fizikal seperti buruh, tanah dan modal sentiasa wujud. Semua itu akan hanya merupakan ejen pengeluaran sekiranya input-input dibawa ke pasaran atau diguna secara produktif oleh manusia. Dengan lain perkataan, tanah ada, begitu juga buruh dan modal, tetapi semuanya tidak bermanfaat jika tidak digunakan. Dalam hubungan ini kita perlu sedar kepada prinsip yang telah ditetapkan oleh Al-Quran:
“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada balasan melainkan balasan daripada apa yang diusahakan.” [77]













7. 0 TEORI GELAGAT PENGGUNA.

7 . 1 Konsep Rationaliti dan utiliti.


Gelagat individu pengguna tidak dapat memisahkan diri daripada konsep rasionaliti dan utiliti. Gelagat pengguna yang rasional adalah individu yang pintar mengolah sumber-sumber ekonomi yang terbatas berbanding kehendak-kehendak manusia yang tidak terhad.

Konsep rasionaliti dalam teori gelagat pengguna adalah penting untuk menentukan perbelanjaan dari pendapatan yang terhad bagi mendapatkan kepuasan (utiliti) di dalam penggunaan sesuatu barangan dan perkhidmatan.[78] Pengguna yang sentiasa berusaha memaksimakan utiliti dianggap pengguna yang rasional.[79] Mckanzie, mendefinisikan rasional sebagai,
Consistent behavior that maximizes an individual’s satisfaction.dan Utiliti pula sebagai, The satisfaction a person receives from the consumption of a good or service, or from participation in activity.[80]

Utiliti yang hendak dimaksimumkan ini ialah utiliti individu manusia ekonomi, yang matlamat utamanya ialah mencapai tingkat kepuasan yang paling tinggi dan ianya digerakkan oleh nilai-nilai kewangan semata-mata.[81]

Teori gelagat pengguna juga menerangkan bagaimana seseorang pengguna memperuntukkan wangnya untuk mendapatkan kepuasan yang maksimum dalam konteks barangan yang terhad serta menyukat sesuatu kepuasan dengan menggunakan teori marginalis(sut) bagi mendapatkan utiliti pengguna secara jitu dalam unit-unit kardinal.[82] Ini selaras dengan apa yang dinyatakan oleh Taussig.

Utiliti hanya boleh diukur dengan jumlah yang seseorang itu sanggup bayar untuk memiliki sesuatu barangan, dengan ini harga adalah menunjukkan utiliti.[83]

Pengguna mengikut teori ini akan mencapai keseimbangan apabila memaksimumkan utilitinya pada suatu kekangan pendapatan tertentu.

5.1.1 Homo Economicus dan Kerasionalan Ekonomi.

Konsep rasional dan utiliti tertumpu kepada prestasi manusia ekonomi,yang berhadapan dengan masalah kekurangan relatif. Ianya memerlukan kerasionalan yang tinggi bagi memastikan keadilan dan kecekapan dalam aktiviti penggunaan. Individu ekonomi juga dianggap rasional apabila kelakuannya selaras dengan satu set keutamaan yang sistematik iaitu memilih yang paling baik dan peluang yang paling utama.

Ini selaras dengan pandangan Handerson dan Quandt yang mengandaikan kerasioanalan berdasarkan kenyataan berikut:[84]
1)Bagi setiap pasangan pilihan yang ada misalnya A & B individu dapat menyatakan sama ada dia suka A berbanding B.
2)Hanya satu sahaja daripada kemungkinan tersebut benar untuk setiap pasangan pilihan.
3)Jikalau individu pilih A, berbanding B dan B berbanding C, maka dia akan gemar A berbanding dengan C. Kenyataan terakhir ini mempastikan bahawa pilihan individu adalah konsisten atau transitif.

Jelas kepada ahli-ahli ekonomi penggunaan istilah rasional adalah agak khusus, iaitu individu dianggap rasional sekiranya dia mengarahkan kelakuannya selaras dengan satu set keutamaan yang sistematik, paling baik dan paling diutamakan.[85]

5. 2 Rasionalisme daripada perspektif Islam.

Rasionalisme Islam adalah berasaskan akidah Islam yang bersumberkan Allah dan kitab yang satu. Gelagat pengguna muslim berorientasikan matlamat yang jelas untuk mendapat keredhaan Allah samada keberkatan di dunia dan balasan syurga yang abadi di akhirat. Rasionalisme Islam telah berjaya menyelesaikan masalah perlakuan yang gagal dilakukan rasionalisme ekonomi barat.[86] Ini berdasarkan latar belakang sejarah rasionalisme kapitalisme yang memisahkan agama dan kehidupan atau dikenali sebagai sekularisme.[87] Sedangkan sistem kapitalisme adalah sistem pengurusan ekonomi yang berdasarkan persaingan pasaran yang dikendalikan oleh pengeluaran, pengagihan dan pertukaran.[88] Namun sebaliknya rasionalisme Islam tidak mengabaikan kepentingan kehendak material, keperluan dan kepuasan manusia. Bahkan Allahlah yang mencipta dan menentukan kadar rezeki masing-masing serta memberi bimbingan yang diperlukan. Walaupun manusia terpaksa melandaskan hidup mereka kepada nilai-nilai Islam, ini tidaklah bermakna mereka tidak rasional pada pandangan barat

Kebanyakan ahli-ahli ekonomi seperti Mahmud Akram Khan,[89] Monzer Khaf [90]serta Dr.Syed Othman al-Habsyi[91] menolak serta menganggap tidak sah mengenai andaian-andaian economic man dalam kerasionalan ekonomi. Di antara asas-asas penolakan mereka ialah: [92]

1) Analisis ekonomi barat menafikan persoalan nilai, batas-batas agama dalam menentukan norma kedaulatan pengguna. Sehingga ia hanya bersifat kebendaan semata-mata. Inilah yang biasanya dikenali dengan istilah hedonisme. Matlamatnya pula boleh dicapai melalui kebebasan individu iaitu liberalisme, samada dari segi pemilikan, tingkahlaku, dan kebebasan bersuara(freedom of speech).[93]
2) Setiap individu dianggap giat memaksimumkan utiliti (kepuasan) mereka serta tindakan itu adalah rasional.
3) Islam menganggap manusia secara semulajadi berubah kelakuannya mengikut perasaan, keperluan, prasangka, mood dan lain-lain lagi. Mereka tidak konsisten dan sentiasa rasional sepanjang masa.
4) Prinsip tauhid sepatutnya menjadi prinsip konsisten dalam pembentukan manusia yang terbaik dalam mencari keredhaan Allah pencipta sebenar manusia.
5) Manusia ekonomi bersifat berkepentingan diri tanpa mengambilkira tingkah laku penggunaan dan pengeluaran pihak-pihak lain dalam masyarakat.

Jelaslah konsep rasionaliti dan utiliti hanya mengambilkira penglibatan secara sempit oleh manusia ekonomi bagi mencapai kepuasan kebendaan mereka. Soal-soal nilai (metafizik), kepentingan masyarakat tidak diutamakan. Lebih parah lagi ia tidak menerima asas ilmu ekonomi berdasarkan wahyu kecuali ilmu dari proses deduktif dan hepotesis akal semata-mata.[94]

5. 3 Kehendak manusia tidak terbatas dan Sumber-sumber terhad.


Kehendak manusia dalam ekonomi konvensional hanya tertumpu kepada satu sumber samada ia mendatangkan kepuasan atau tidak. Kepuasan dijadikan sebagai suatu ukuran kepada kegiatan ekonomi terutama dalam aktiviti penggunaan. Misalnya bagi individu yang mahu lebih banyak kehendaknya dipenuhi akan bersedia bekerja dengan lebih kuat serta memberi sumbangan yang produktif dalam pertumbuhan ekonomi. Oleh itu apabila sesuatu itu dipenuhi, kehendak lain pula akan tercetus. Kitaran ini berterusan sedemikian rupa, sepertimana kata Dewet dan Varma,[95] :
“Selagi manusia itu masih hidup, kehendaknya tidak ada batas dan terus berkembang.”

G. Lipsey juga menyatakan[96] :

“Kehendak-kehendak yang boleh dipenuhi melalui penggunaan barangan dan perkhidmatan bolehlah dianggap sebagai tidak pernah puas (insatiable)”.


Oleh kerana manusia mempunyai kehendak yang sentiasa tidak puas dalam sesuatu aktiviti penggunaan, tidak hairanlah istilah utiliti begitu mendapat tempat dalam sistem ekonomi konvensional, sehingga asas pemilihan sesuatu barangan bergantung kepada keupayaan menyediakan kepuasan kepada manusia, sebagaimana yang dijelaskan Osman Rani :
“keupayaan sesuatu barangan adalah untuk memuaskan kehendak manusia”.[97]

Islam mengakui bahawa manusia mempunyai kehendak yang tidak terhad sebagaimana firman Allah S. W. T : [98]
“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabi’at resah gelisah (lagi bakhil kedekut),”

Bersifat resah gelisah membawa maksud tidak berpuashati dengan apa yang ada dan sentiasa mempunyai kehendak yang perlu dicapai. Ini diperkuatkan lagi dengan hadis yang bahawa Rasulullah S. A.W telah bersabda yang bermaksud :[99]
Andaikata anak Adam mempunyai harta sebanyak dua lembah, maka dia akan mengharap untuk mempunyai harta sebanyak tiga lembah, demikian lah seterusnya. Tidak akan aada yang dapat memenuhi harapan anak Adam kecuali tanah dan Allah akan menerima taubat seseorang yang bertaubat.


Walaupun Islam mengakui kehendak manusia itu tidak terhad tetapi ia bukanlah untuk kepuasan kebendaan semata-mata. Ianya mestilah berasaskan keperluan dan berkepentingan awam maslahah. Ini memberi kepuasan pengguna kepada individu dan masyarakat. Secara keseluruhan bagi pengguna muslim pula berhak memperolehi kepuasan di dunia dan di akhirat.

Ekonomi konvensional juga mengaitkan sumber ekonomi yang terhad sebagai punca wujud masalah ekonomi bukannya faktor lain, sedangkan Allah S.W.T mengingatkan dengan firmannya :
Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya.[100]


Maksud ayat di atas, jelas bahawa ekonomi Islam menolak punca masalah ekonomi dikaitkan dengan terhadnya sumber-sumber tetapi ketidakmampuan manusialah sebagai punca, kerana gagal mengeksploitasi sumber-sumber yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T dengan banyaknya


7 . 0 KESIMPULAN

Keperluan meletakkan falsafah Islam sebagai dasar terpenting untuk memberi gambaran sebenar mengenai ekonomi Islam. Di samping perbahasan mengenai iqtisad dan ekonomi memperjelaskan keadilan yang sebenar hanya wujud dalam ekonomi Islam. Perkaitan yang begitu erat antara Allah sebagai pencipta manusia dan sumber-sumber alam yang ada, mewujudkan keharmonian serta kesedaran dalam menjalankan kegiatan ekonomi yang diredai Allah S.W.T. Sebagaimana firman Allah S.W.T. bermaksud:
“Patutkah manusia itu berkata demikian dan tidak memikirkan bahawa kami telah menciptakan dia dahulu sedang ia pada masa itu belum ada sebarang apapun”.[101]

Dikuti dengan firman Allah S.W.T. dalam bermaksud :
“Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi”.[102]

Jesteru itulah skop dan ruanglingkup ekonomi Islam tidak semata-mata tertumpu untuk memenuhi kehendak manusia yang sentiasa tidak puas. Namun ketundukan kepada perintah Allah S.W.T dalam aktiviti penggunaan juga perlu dilaksanakan. Sejajar dengan itu masalah kekurangan (scarcity) perlu ditangani dengan kehendak Islam yang sebenar agar manusia tidak melampaui batas. Ini berdasarkan ketetapan Allah S.W.T dalam firmanNya yang bermaksud :
“Dan jikalau Allah S.W.T menurut kehendak dan hawa nafsu mereka tentulah berlaku kerosakan langit dan bumi”.[103]
Berdasarkan ayat-ayat Al-Quran di atas, jelas bahawa masalah ekonomi bukan masalah sebenar tetapi dicipta oleh manusia sendiri. Ini disebabkan oleh halangan-halangan yang dihadapi manusia dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap Allah S.W.T. Pada asasnya masalah kekurangan yang wujud disebabkan oleh beberapa faktor-faktor berikut :

a) Ketidakmampuan manusia dari segi ilmu pengetahuan, oleh itu manusia tidak mampu untuk menerokai sumber-sumber Allah yang masih tersimpan.
b) Penglibatan manusia dalam kegiatan negatif seperti peperangan yang memusnahkan sumber, pembaziran dalam penggunaan.
c) Ketidakadilan dalam pengagihan serta pengurusan terhadap sumber-sumber kekayaan yang dibekalkan Allah S.W.T.
d) Penyimpangan manusia dalam mengambil panduan Allah S.W.T dalam penggunaan sumber-sumber.

RUMUSAN

Aspek falsafah tauhid menjadi perkara utama kajian bagi melihat perbandingan yang wujud antara ekonomi konvensional dan Islam. Hakikat sebenar amalan aktiviti ekonomi Muslim, banyak terpengaruh dengan sistem kapitalis. Justeru itu falsafah, etika, matlamat dan cara-cara hidup berekonomi umat Islam terpesong jauh daripada syariat Islam yang sebenar. Harapan untuk mencapai kesejahteraan sebenar daripada aktiviti ekonomi gagal disebabkan pengukuran kesejahteraan dalam sistem kapitalis berasaskan kebendaan dan kepuasan semata-mata. Kesannya individu Muslim berbelanja berlebihan, menanggung hutang yang tinggi di samping mencetuskan inflasi dalam ekonomi masyarakat dan negara. Kesan sampingannya ialah masalah sosio-ekonomi masyarakat meningkat. Pokoknya sistem ekonomi Islam yang memiliki teori dan praktikal yang selari dengan kehendak fitrah manusia mampu memberi jawapan yang adil kepada berbagai aktiviti ekonomi. Ekonomi Islam menjadikan kebendaan dan kerohanian sama penting dan berupaya melahirkan individu ekonomi sejahtera dan tunduk kepada kekuasaan Allah. Perbezaan falsafah, etika, matlamat menjadi asas dasar analisis kedua-dua sistem ekonomi yang berbeza ini.

Penulisan ini mengemukakan pandangan bahawa ekonomi konvesional pada asalnya mempunyai falsafah dan idoelogi agama yang mantap. Ia secara mendadak berubah apabila berlakunya Revolusi Industri di barat pada lewat abad ke-18, apabila unsur-unsur agama dan ideologi mula ditinggalkan. Sumber rujukan ilmu ekonomi konvensional mula tertumpu kepada pengamatan empirikal dan pengolahan akal semata-mata. Sebaliknya sumber ilmu ekonomi Islam tidak sahaja terhad kepada dua perkara tersebut malah melibatkan juga institusi dan sumber utama iaitu Wahyu Ilahi. Kedudukan ini memberi implikasi yang besar kepada perbezaan antara kedua-dua disiplin ekonomi konvensional dan Islam. Meskipun Islam dalam banyak hal, memuliakan akal, namun ia tidaklah sampai ke tahap untuk memberikan kebebasan menentukan segala-galanya berkaitan dengan kehidupan. Dalam perspektif Islam, sumber llmu yang mutlak hanya Wahyu Ilahi. Segala sumber ilmu yang lain mesti tunduk kepadanya. Oleh kerana disiplin ekonomi konvensional meletakkan akal pada tahap yang paling tinggi, maka sudah semestinya, perjalanan aktiviti ekonomi hanya tertakluk kepada ketetapan akal manusia semata-mata tanpa sebarang campurtangan agama di dalamnya.

Falsafah ekonomi konvensional jelas asasnya berpaksikan kebendaan dan kepuasan dengan panduan akal semata-mata. Ekonomi Islam menggunakan akal berpandukan wahyu Ilahi. Penerimaan wahyu Ilahi sebagai sumber ilmu yang mutlak bukanlah sekadar untuk maksud pembangunan sumber ekonomi tetapi ia adalah tuntutan akidah Islam itu sendiri. Jelaslah bahawa kewujudan sistem ekonomi Islam adalah bertunjangkan tauhid dan dengannya dapat menyedarkan manusia akan hakikat kewujudan Allah sebagai rujukan segala-galanya. Ini termasuklah bidang ekonomi yang memerlukan syariat bagi memandu manusia memikul amanah dan tanggungjawab dalam pengendalian harta serta sumber-sumber yang menjadi kepunyaan Allah.

Manusia merupakan objek utama dalam aktiviti-aktiviti ekonomi. Manusialah merupakan gelagat penting memberi rangsangan kepada pertumbuhan ekonomi. Ekonomi konvensional mengutarakan falsafah melihat manusia sebagai kejadian mementingkan diri sendiri mampu merangsang persaingan dalam pengeluaran barangan termasuk jumlah kuantiti yang masyarakat perlu dan paras harga yang sanggup dibayar oleh masyarakat. Manusia berkepentingan menjadi ukuran kejayaan ekonomi atau dikenali ‘economic man’ , berbeza dengan ekonomi Islam yang meletakkan kejayaan individu ekonomi bergantung kepada bantuan dan pertolongan individu-individu lain yang ada dalam masyarakat. Manusia yang berkepentingan diri akan hanya mewujudkan jurang yang ketara dalam masyarakat kerana golongan berkemampuan akan menyekat peluang golongan tidak berkemampuan untuk melakukan aktiviti penggunaan. Ekonomi Islam berusaha membentuk manusia sebagai khalifah Allah serta mengabdi diri kepada Allah dan penilaian kemuliaanya berdasarkan kualiti taqwa dan akhlak yang tinggi bukannya haiwan ekonomi.

Dalam aspek penggunaan Islam individu pengguna juga tertakluk kepada hieraki keperluan utama menurut tingkatan daruriyyat, tahsi@niyyat dan kamaliyyat. Penggunaan atau perbelanjaan harta yang melebihi tingkat keperluan tahsiniyyat yang maksima adalah tergolong dalam penggunaan tercela atau tarafiyyat. Hieraki ini mestilah dipatuhi dalam mencorakkan bentuk penggunaan seimbang dengan jumlah pendapatan yang tertentu bagi menghasilkan manfaat yang maksimum untuk diri, masyarakat dan negara.

Kajian ini juga mendapati perlakuan pengguna Muslim adalah berbeza dengan perlakuan pengguna dalam ekonomi konvensional kerana pengguna Muslim terikat dengan kehendak syariat yang menekankan aspek-aspek berikut :

i) Halal dan haram dalam barangan dan perkhidmatan yang hendak digunakan.
ii) Mengguna mengikut hieraki keperluan bagi membendung pembaziran.
iii) Mengambil kira keperluan orang lain (masyarakat).
iv) Mengambil kira tuntutan dan keperluan agama, misalnya jihad pada jalan Allah.

Dalam ekonomi konvensional, perkara utama yang ditekan dalam aspek penggunaan ialah pemaksimuman utiliti semata-mata.

Oleh kerana penggunaan dalam Islam didasari falsafah Tauhid yang perinciannya memberi perhatian kepada konsep hari akhirat, konsep al-falah{, konsep harta, konsep barangan dan perkhidmatan serta etika dalam pengguna, maka pemaksimuman utiliti mengikut neraca ekonomi konvensional tersebut perlulah diteliti berdasarkan kriteria-kriteria di atas.

Objektif pengguna Islam adalah untuk mencapai al-falah}. Iaitu usaha mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Kejayaan di dunia diperolehi daripada penggunaan barangan dan perkhidmatan semasa. Kejayaan di akhirat dalam bentuk pembalasan pahala diperolehi daripada penggunaan pendapatan lebihan untuk memenuhi keperluan masyarakat melalui zakat, sedekah, derma, wakaf, hadiah dan lain-lain. Konsep al-falah} tidak boleh disamakan dengan konsep kebajikan dalam ekonomi konvensional kerana ia merujuk kepada kesejahteraan kebendaan semata-mata. Berbeza dengan al-falah lebih merujuk kepada kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Kesejahteraan akhirat juga dijadikan alat untuk kesejahteraan akhirat.

Persoalan kekurangan relatif memperjelaskan perbezaan kehendak manusia ekonomi dalam sistem konvensional dan Islam apabila berhadapan sumber-sumber yang terhad. Suasana ini menimbulkan masalah-masalah ekonomi. Menurut teori kapitalis keinginan dan keperluan manusia tidak ada hujungnya. Namun usaha mengatasinya perlu dilakukan dengan membangunkan sumber pengeluaran dan sentiasa menyemak sistem pengagihan. Konflik ini berlaku kerana sistem konvensional beranggapan kekurangan yang berlaku secara mutlak. Sedangkan pada ekonomi Islam ia hanya berlaku secara relatif sahaja, kerana ilmu pengetahuan yang dianugerah Allah S.W.T adalah terhad tidak mampu untuk menghitung nikmat-nikmat Allah yang terlalu banyak Perbezaan ini terjadi kerana analisis gelagat pengguna berasaskan aspek positif semata-mata. Sedangkan ekonomi Islam menganalisis berdasarkan aspek positif yang bergantung kepada pengamatan manusia iaitu positif dan normatif yang berdasarkan nilai-nilai al-Quran .

Perkara-perkara yang mempengaruhi penggunaan dalam Islam adalah jauh berbeza dengan pandangan ekonomi konvensial. Meskipun Islam tidak menolak sepenuhnya pengaruh aspek yang ditekan oleh ekonomi konvensional dalam mencorak penggunaan, Islam telah menonjolkan cir-ciri yang lebih baik hingga dapat mengubah nilai dan tabiat pengguna. Penggunaan seseorang individu dipengaruhi oleh kepercayaan adanya hari akhirat, pembalasan pahala, harta bukanya milik peribadi sahaja tetapi ianya juga terdapat hak orang lain dan barangan serta perkhidmatan mestilah halal. Ia juga turut merangka perundangan bagi mempertahankan penggunaan seperti kes yang melibatkan israf dan tabzi@r di mana pengguna yang terlibat boleh ditahan daripada mentadbir hartanya.

Pengguna Islam ketika membuat pilihan barangan dan perkhidmatan dipengaruhi oleh nilai etika yang telah ditetapkan oleh syarak iaitu menggunakan barangan dan perkhidmatan yang dihalalkan dan memastikan penggunaan yang optima. Seseorang itu mesti besederhana di dalam penggunaanya agar tidak berlaku pembaziran atau pembekuan sumber. Mutu kesucian barangan dan perkhidmatan diutamakan bagi mengelak penggunanaan yang diharamkan. Penggunaan juga dikawal melalui nilai kerohanian dan akhlak yang mulia. Nilai etika ekonomi Islam tidak mengiktiraf corak penggunaan moden yang condong ke arah kebendaan semata-mata, sebaliknya juga menekankan aspek-aspek kerohanian. Penggunaan barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi konvensional juga adalah berlebihan kerana menurut kehendak nafsu yang bersifat tidak cukup dengan apa yang ada. Oleh itu, keutamaan pengguna konvensional adalah bertujuan untuk kehidupan yang selesa dan mewah.


Aspek hak pengguna juga terdapat perbezaan ketara antara sistem kapitalis dan Islam. Dalam sistem ekonomi Islam pengguna mempunyai hak tersendiri tertakluk kepada had-had perundangan yang telah sedia ada di dalam al-Quran dan as-Sunnah supaya ianya tidak menjejaskan proses peruntukan sumber dan mengancam kepentingan umum.

Bagi sistem ekonomi kapitalis, kebebasan individu dan sektor swasta adalah diutamakan. Sistem ekonomi ini sangat menggalakkan pemaksimuman untung, di mana sistem pasaran mereka beroperasi secara bebas tanpa kongkongan dari mana-mana pihak. Kebebesan individu adalah hak yang mutlak dan tiada had langsung yang dikenakan. Manakala dalam sistem ekonomi sosialis pula mengamalkan sistem pemerintahan pusat dengan semua operasi ekonomi dikawal oleh kerajaan. Ini bermakna kebebasan individu tidak terdapat di dalam sistem ekonomi sosialis.

Dalam ekonomi Islam, pengguna mempunyai hak dan kedaulatan pengguna. Walau bagaimanapun, kerajaan mempunyai kuasa untuk menghadkan pengeluaran barangan yang diminta oleh pengguna bergantung kepada jenis dan keperluan barangan untuk kepentingan umum. Pengguna mempunyai hak untuk memenuhi keperluan barangan dan perkhidmatan setakat tah}siniyyat dan kamaliyyat sahaja, di mana pembaziran dielakan. Sebagai contohnya penggunaan barangan mewah boleh dihadkan penggunaannya oleh kerajaan ketika kemelesetan ekonomi bagi tujuan pemulihan. Pengguna barangan mewah mesti dikurangkan untuk meningkatkan tabungan dan seterusnya memulihkan keadaan ekonomi. Ianya juga untuk menjaga kemaslahatan umum bagi mengekkan daripada keadaan yang lebih buruk lagi berlaku.

Keadaan ini amat berbeza dengan sistem ekonomi kapitalis yang memberikan hak sepenuhnya kepada pengguna bagi menentukan barangan yang mereka kehendaki. Ini memberikan kesan kepada ketidakcekapan ekonomi. Sebaliknya apa yang berlaku dalam sistem ekonomi sosialis dan komunis, hak pengguna adalah dihapuskan. Kuasa pengguna dipegang oleh kerajaan di mana pengguna hanya menerima apa sahaja jenis dan jumlah barangan yang telah diperuntukkan oleh pemerentah. Ini dapat dikatakan dengan jelas bahawa ekonomi Islam adalah lebih sempurna kerana corak penggunaannya menggalakkan kepada penggunaan sumber yang terbaik

Teori-teori yang dikemukakan oleh ahli ekonomi Islam di dalam penggunaan adalah lebih realistik dan kukuh berbanding teori-teori yang dikemukakan oleh ahli ekonomi konvensional. Rationaliti dalam ekonomi Islam adalah apabila seseorang pengguna membuat keputusan untuk melakukan penggunaan bagi mendapatkan kepuasan dalam usaha mereka untuk memenuhi keperluan barangan dan perkhidmatan berpandukan kepada logik akal yang berdasarkan kepada wahyu. Ekonomi konvensional mengatakan rasionaliti adalah apabila seseorang membuat keputusan tentang penggunaan berdasarkan logik akal untuk memenuhi kehendaknya serta memaksimakan kepuasan daripada pengguna tersebut.


Kajian mendapati individu pengguna dalam konteks teori gelagat pengguna, secara fitrah memiliki perasaan tamak dan gelojoh terhadap harta dan kebendaan. Sebab itulah teori gelagat pengguna dalam ekonomi konvensional menjadikan konsep rasionaliti dan utiliti asas penting dalam sesuatu keputusan ekonomi. Manusia yang rasional dan memperolehi tahap utiliti yang tinggi merupakan individu yang meletakkan gelagat pengguna selaras dengan set keutamaan memilih serta merebut peluang yang terbaik bagi dirinya. Keinginan peribadi terus dimaksimumkan dengan semangat individualistik dan materialistik semata-mata berorientasikan untung dan kepuasan yang tinggi . Akibatnya sumber-sumber ekonomi digunakan dengan banyaknya. Keperluan sebenar tidak menjadi asas pengukuran permintaan mereka. Ini adalah kerana ekonomi konvensional menutamakan sistem pasaran yang semata-mata memikirkan permintaan berkesan yayang disokong oleh wang dan status. Motif dan matlamat gelagat pengguna pula semata-mata untuk mendapat keuntungan peribadi, persaingan dan kebebasan yang mutlak. Sebaliknya matlamat pengguna muslim ialah mencapai kesejahteraan dan kemenangan di dunia dan di akhirat. Unsur-unsur percayakan alam akhirat, konsep kejayaan, harta, etika dan konsep barangan dan perkhidmatan menjadi teras pada pengaruh gelagat pengguna muslim.

Bagi melaksanakan konsep penggunaan yang benar-benar selari dengan kehendak Islam memerlukan pembinaan sistem ekonomi Islam yang mantap. Ini berhajatkan pembinaan individu dan masyarakat yang benar-benar memahami tas}awwur Islam, iaitu agama yang meliputi semua aspek kehidupan termasuk bidang ekonomi. Selagi agama dilihat secara cacat iaitu menafikan kewujudan bidang ekonomi di dalamnya, maka sukarlah penyelesaian.

Justeru itu pembangunan diri manusia dengan memenangi kualiti-kualiti individu sempurna, berimbangan, teratur, memiliki konsep-konsep hidup yang jelas dan memenangi konsep-konsep kepercayaan yang benar maka akan lahirlah kegiatan-kegiatandan tindakan yang bertamaddun dalam semua kegiatan hidup.

Dalam Islam, faktor perubahan diri dan peribadi manusia yang paling berkesan dan penting ialah faktor aqidah, keimanan dan idoelogi. Tingkahlaku atau tindakan-tindakan manusia adalah bayangan daripada konsep–konsep kepercayaan yang dimilikinya. Perkembangan dan pembinaan individu pula biasanya amat terpengaruh dengan suasana masyarakat yang ia terdedah. Individu tidak akan menjadi baik melainkan jika ia berada di dalam sesebuah masyarakat yang dapat membantu pertumbuhannya secara sihat dan sempurna dalam segala aspek. Lantaran itulah betapa penting penghayatan agama sebagai asas pembinaan masyarakat. Di antara asas itu ialah :
i) Kemurnian aqidah dan ketaatan kepada Allah S.W.T dan Rasulnya S.A.W.
ii) Penghayatan ibadat.
iii) Kemantapan ilmu.
iv) Pengajaran syariah.
v) Keluhuran akhlak nilai kemanusiaan.
vi) Melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar.

Justeru pembuat dasar ekonomi negara perlu diberi peluang mendalami syariat Islam. Walaupun latarbelakang pendidikan mereka adalah sekular, namun kewibawaan mereka dalam bidang akdemik adalah tinggi. Ini memudahkan mereka membuat perbandingan antara ilmu syariat dan bidang ekonomi. Dengan lain perkataan pakar-pakar ekonomi, pembuat dasar perlu digandingkan dengan ulamak yang muktabar menerusi diskusi ilmu, khususnya ilmu ekonomi Islam di dalam bengkel, seminar, simposium dan juga pembentangan kertas kerja. Langkah ini penting untuk membina masyarakat yang berilmu di pelbagai peringkat untuk menyuburkan benih-benih kefahaman ekonomi Islam.

Pusat-pusat pengajian tinggi perlu proaktif dalam menjalankan kajian penyelidikan dengan membuka peluang pada pelajar IPT memahami ekonomi Islam di peringkat ijazah, sarjana, serta ke peringkat doktor falsafah. Ini memerlukan pihak universiti menawarkan kursus-kursus ekonomi Islam secara wajib serta mengambilkira dalam keputusan di peringkat peperiksaan IPT, ke arah melahirkan garduan-graduan yang pakar dalam bidang ekonomi Islam serta memberi sumbang bakti kepada masyarakat dan negara.

No comments: