Tuesday, April 15, 2008

Beberapa Aspek Perbahasan Dalam Ekonomi Islam



BEBERAPA ASPEK PERBAHASAN DALAM EKONOMI ISLAM

1.0 MUKADIMAH.


Persoalan ekonomi adalah merupakan komponen penting dalam sistem hidup Islam. Melaksanakan peraturan dan hukum-hakam ekonomi Islam adalah sama tarafnya dengan amalan-amalan lain yang terdapat dalam Islam. Bahkan dikira sebagai ibadat, kerana ia diberi pahala jika dilakukan mengikut rukun dan syarat serta diniat dengan ikhlas semata-mata kerana Allah S.W.T. Lantaran itu ekonomi Islam juga dianggap bergerak dalam pendisiplinan ilmu kemasyarakatan kerana bidang pengkajiannya tertumpu kepada tindak-tanduk individu dan masyarakat .
Muhammad Abdul Manan ada menjelaskan :
Ekonomi Islam adalah sains sosial yang mengkaji masalah-masalah ekonomi satu golongan masyarakat yang berpegang kepada nilai-nilai Islam”.[1]



2. 0 PENGERTIAN EKONOMI & IQTISAAD


Ekonomi ialah suatu ilmu yang mempelajari tentang perlakuan individu dan masyarakat dalam menggunakan faktor-faktor pengeluaran yang terbatas untuk menghasilkan barangan daan perkhidmatan yang mereka perlukan.[2] Pengertiannya juga telah diketengahkan oleh David Hyman’ sebagai
“Ilmu yang membahaskan bagaimana mengurus sumber-sumber yang terhad bagi pelbagai alternatif penggunaan”. [3]

Secara lebih terperinci perkataan Ekonomi berasal daripada perkataan latin Oeconomicus dan perkataan Greek Oikonomikos.[4] Menurut Joseph A. Schumpeter, perkataan Oeconomicus ini merujuk kepada Kebijaksanaan dalam pengurusan rumahtangga.[5] P.H Collin pula mengemukakan ekonomi sebagai, cermat dan berhati-hati, tanpa membazirkan wang dan kebendaan.[6] Turut diperjelaskan lagi oleh Philip Bab Cockgove dalam kamusnya sebagai, kajian ekonomi dalam konteks aktiviti individu ekonomi sebagai firma rumahtangga dan harga.[7] Menerusi istilah Oeconomicus ini, dapatlah disimpulkan bahawa ekonomi ialah peraturan-peraturan untuk menyelenggarakan keperluan hidup manusia di dalam rumahtangga, baik dalam rumahtangga individu mahupun dalam rumahtangga yang bersifat kolektif dalam sesebuah negara.

Kedudukan ini berbeza sekali dengan istilah iqtisad yang diguna pakai dalam bahasa arab. Ibnu Manzur[8] dalam Lisan al-Arab menulis kalimah iqtisad berasal dari akar kata Qasadu / Qasdu yang bermaksud lurus. Ini adalah bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud :
“ Dan kepada Allah jualah terbentuknya urusan memberi panduan yang menerangkan jalan yang lurus ”, dan diantara jalan-jalan yang dituju ada yang terpesong dari kebenaran ”.[9]

Al-Zabidi [10] dalam Taj al-Arus menyebut Iqtisad berasal dari kalimah Qasada/Qasdu yang bermaksud sederhana di antara bakhil dan israf. Merujuk kepada al-Quran Allah S.W.T memberi gambaran jelas berhubung maksud iqtisad. Misalnya surah al-Isra’ :29.
Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabisnya ”.

Mengikut Muhammad Akram Khan [11] dalam Glosassary of Islam Economic, beliau menyatakan al-iqtisad bermaksud, mengamalkan jalan pertengahan yang secara teknikalnya membawa erti bersederhana antara israf dan bakhil. Merujuk kepada al-Quran, Allah S.W.T telah memberi gambaran yang jelas berhubung dengan maksud iqtisad seperti oleh pendapat-pendapat di atas. Ini dapat dilihat dalam firman Allah S.W.T yang bermaksud :
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan harta, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut, dan sebaliknya perbelanjaan mereka adalah betul sederhana antara kedua-dua cara ( boros dan bakhil).”(Surah al Furqan: 11).


Berdasarkan petikan ayat al – Quran dan al- Hadis di atas jelas menganjurkan manusia supaya bersifat iqtisad iaitu tidak bakhil dan tidak israf. Ibnu Qayyim[12] menyebut bahawa sifat iqtisad ini adalah suatu sifat pertengahan di antara dua hujung yang terkeji seperti yang digambarkan oleh kedua-kedua ayat al-Quran di atas. Dalam erti kata lain, Allah S.W.T menganjurkan kita supaya berjimat cermat dalam menggunakan harta. Penghayatan terhadap anjuran ini sudah pasti akan merealisasikan tuntutan kedua-dua istilah ekonomi dan iktisad yang memang merujuk kepada pentadbiran dan pengurusan perbelanjaan yang baik dalam memenuhi keperluan hidup masing-masing.

Meskipun kedua-dua istilah ekonomi dan iqtisad mempunyai persamaan dalam memberi implikasi yang positif terhadap penggunaan sumber, namun pada hakikatnya, kedua-dua istilah ini mempunyai perbezaan yang amat besar kerana kedua-duanya tidak bertitik tolak dari persekitaran budaya dan pandangan hidup yang sama. Lebih-lebih lagi, kedua-keduanya tidak mempunyai persamaan dari segi perspektif asas falsafah dan methodologi disiplin tersebut. Dalam Islam penghayatan amalan iqtisad ini adalah berkaitan dengan konsep tanggungjawab dan amanah terhadap harta yang dianugerah Allah S.W.T demi mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

No comments: